Perpisahan adalah suatu yang menyakitkan!
Begitulah realiti kehidupan. Bukan mudah untuk kita menghadapi sebuah perpisahan andai kita tidak pernah menjangkakan ianya akan berlaku.
Bukan salah perpisahan, tapi salah pertemuan yang akhirnya membawa kepada perpisahan. Apa mungkin akan berlaku perpisahan andai tidak ada sebuah pertemuan? Apa mungkin ada perpisahan andai kita menafikan pertemuan. Apa ada perpisahan andai kita menolak salam yang hadir?
Tekad yang bulat untuk menafikan segala pertemuan kadangkala jua tidak menjadi. Kerana takdir Tuhan itu lebih berkuasa dalam menentukan setiap perkara yang berlaku. Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan itu adalah sebaik2 perancang yang menzahirkan sebuah hakikat. Suka atau tidak, mampu atau tidak, kita terpaksa untuk mendepaninya. Cuma, semuanya terpulang kepada kita cara bagaimana untuk kita menerima takdir itu. Ia juga terpulang kepada kita untuk hanya redha dan pasrah atau kita keluar dari kepompong kesedihan yang terhampar itu.
Bagi aku, sebuah perpisahan itu adalah lebih perit dan menyakitkan. Namun, mengisi sebuah perkenalan itu jauh lebih mencabar. Apakah kita yakin dalam mengisi perkenalan itu dapat membuahkan keakraban yang baik serta diredhai Allah? Apakah ianya juga mampu untuk kita depani sebaik mungkin tanpa ada prasangka buruk atau pengkhianatan? Apakah kita mampu menjamin keredhaan Tuhan akan mengiringi kita?
Pastinya, sebuah perkenalan yang akhirnya membawa kepada perpisahan adalah suatu hikmah yang perlu kita sedar. Walaupun ianya perit dan pedih, tapi pasti Tuhan itu tidak akan pernah zalim. Ia memberi kita sesuatu ujian dan cabaran untuk menguji sejauh mana kekuatan kita untuk menghadapinya dengan tabah dan sabar. Selebihnya adalah terpulang kepada kita untuk menghadapinya.
Memang sukar dan susah untuk menerima setiap apa yang kita kurang suka apatah lagi perkara yang kita benci. Namun, kita tak punya kuasa apa2 melainkan kekuasaan Tuhan jua yang Maha berkuasa. Berdoalah dengan sebaik yang mungkin. InsyaAllah, Tuhan itu amat memahami dan menyayangi kita andai kita memohon pertolongan dariNya.
Bersabarlah dengan dugaan dan cabaran yang datang. Bersangka baiklah pada Tuhan InsyaAllah, kita akan memperolehi keamanan yang terbaik dari Allah.
Allah!!!!!Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi setiap yang berlaku ini......