Saturday, September 10, 2011

Diari : Sekolahkula.....

Salam buat semua.....

Kadangkala bila difikirkan, kita sering melaungkan kebersamaan atau semangat kerjasama. Itu yang kita kejar-kejarkan. Apabila kita mahu melakukan sesuatu perkara dan mahukan perkara itu berjaya, kita mengarahkan orang lain untuk buat sekali dan memaksa.

Kita bukanlah pejuang kebersamaan seandainya kita hanya mahu orang mengikut kehendak kita sahaja tetapi tidak melihat apa yang orang lain telah buat juga untuk kebersamaan itu.

Biarkanlah orang yang telah bersusah payah dalam memperjuangkan kebersamaan dan kerjasama dalam ruang yang sedikit berbeza tetapi matlamat dan sebab itu hampir sama. Janji semua buat kerja.....

Thursday, September 8, 2011

Hati : Sebuah.....


Hati ini menyala dan membara menyayangi. Sepenuh dan seluruh rasanya terhulur ke arahnya. Terbentang dan terhampar kasih dan sayang yang menghiasi rimbunan rindu. Terlonjak dan terlompat penceritaan tentang kasih itu.

Bukan sengaja aku menghulur kasih itu. Bukan sengaja aku memberikan rasa rindu. Bukan sengaja aku melonjakkan rasa ria kecintaan itu. Kerana, ia hadir tanpa terduga dan tersangka. Hadirnya mencari rindu dijiwa. Hadirnya mencari kasih dan sebuah perhatian.

Tidak pernah aku meminta dan tidak pula aku menolak. Tidak mungkin aku mencari dan tidak pula aku memandang sepi. Hanya takdir Tuhan yang menentukan segalanya.

Aku biarkan ianya berlalu. Aku biarkan ianya merindu. Aku biarkan ianya terus memburu. Aku biarkan segala-galanya mengikut takdir Tuhanku....

Hanya Allah yang maha tahu dan hanya Allah yang berhak mengaturkan hidupku.....

Lahaulawalaquwwataillabillah...............

Tuesday, September 6, 2011

Diari : Mungkinkah Peristiwa Lama Berulang Lagi?

Di kala ini, kerisauan sangat menggugah ketenangan hati dan fikiran. Sering sahaja kegalauan menjengah sudut hati ini. Benarkah ketakutan ini akan menjelma sekali lagi dalam situasi dan keadaan yang berbeza? Apa mungkin diri ini terus disinggahi oleh luka-luka yang tak mungkin berhenti?
Tuhan, sesungguhnya tiada yang ku pinta melainkan ketenangan dan kedamaian hati ini dalam meneruskan kehidupan yang penuh berliku. Redhakanlah sejarah lalu untuk terus berlalu tanpa berulang lagi dalam bentuk yang berbeza. Aku tidak mampu untuk menghadapinya untuk kali yang kesekiannya.
Tuhan, kasih itu datang tanpa diundang. Aku biarkan kasih itu bersemi di sudut hati kerana aku sepi dan sendiri. Tidak pula aku menghalang kerana takdirMu telah menghadirkannya. Di satu ketika, ceria kembali setelah lama murung menghuni hati. Rasa beruntung dengan takdirMu itu.
Namun, beberapa ketika sesudah itu, aku menjengah kotak sejarah yang telah ditutup dan dibiarkan berlalu. Rupanya ia tidak berlalu dan tidak pernah berlalu. Ia masih tertutup rapi disimpan di sudut hati.
Semacam satu kesamaan antara sejarah-sejarah lalu dengan hari ini. Lalu datang kegalauan yang teramat sangat. Apakah ianya berulang kembali dalam versi yang berbeza. Atau ini suatu kurniaan yang langsung tidak akan menyamai sejarah-sejarah itu.
Tuhan, aku tidak punya tempat untuk menghalau kegundahan yang semakin mencengkam hati. Aku tidak punya sesiapa untuk aku bicara setiap inci yang berlaku. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan masa ini.
Aku hanya merancang dan membiarkan ia berlalu mengikut takdir yang telah Kau tentukan. Ku pohon, jangan biarkan aku kecewa dan derita untuk kali yang kesekiannya. Penat, letih dan lesu aku untuk menghadapinya lagi.
Andai ia datang juga, pasti aku pergi dan terus pergi. Mengembara membawa hati seperti yang pernah aku lalui sebelum ini. Kerana aku tahu aku tak mampu untuk menghadapinya......