Keikhlasan akan teruji apabila apa yang kita lakukan tidak pernah dihargai oleh orang lain. Malah, ianya juga menjadi bahan umpatan yang tidak mampu untuk diterima andai kita sendiri yang mendengarnya.
Mungkin sekali dua masih mampu untuk mencari alasan dan sebab semuanya itu berlaku. Tapi, andai ia berterusan, maka hilanglah sifat redha dan ikhlas yang menghuni dihati dan diganti dengan buruk sangka dan bermacam lagi kebatilan.
Aku berikan semampu aku, aku korbankan masa aku, aku harapkan sebuah penghargaan, aku dambakan kepercayaan.....namun, semuanya dibalas dengan tusukan pedih kekecewaan. Apa yang telah aku berikan selama ini hanya sia-sia.
Tidak pernah aku menyesali setiap yang berlaku. Tetapi aku tertanya, mengapa ia harus berlaku. Sekuat mana hati aku untuk menerimanya, hanya Tuhan yang tahu.
Aku semakin hilang ketabahan dan semakin menebal kekecewaan. Hari demi hari yang berlalu, memberikan aku gumpalan-gumpalan sesal yang akhirnya memeritkan jiwa.
Hingga saat ini, hati aku seolah-olah tidak mampu berdiri lagi dengan semangat yang berterusan. Aku pasti, selepas ini tidak ada pengorbanan yang akan aku lakukan untuk mereka. Tidak ada lagi kesungguhan semangat yang akan aku berikan untuk mereka. Tidak akan ada lagi keakraban untuk mereka. Kerana ikhlas aku tidak mampu diterima oleh mereka.
Dahulu, aku pernah merasa kecewa dan terus pergi tanpa menoleh lagi. Kini, kecewa aku hanya memberikan aku pilihan untuk meniti dengan tabah dan sabar. Tapi, sejauh mana kesabaran itu akan terus bertahan. Adakah ia akan membawa aku kearah kekuatan jiwa yang semakin menebal atau ke arah kelesuan yang menjunam.
Semuanya hanyalah Allah sahaja yang tahu gerak perjalanan hidupku. Tidak mampu dijangkau dan diramal, hanya mampu berserah. Satu sahaja yang aku boleh kata.....Aku benar-benar kecewa dengan mereka. Buat masa ini, pasti aku akan menyendiri dan membawa haluan seketika. Semoga Allah kurniakan ketenangan dan kedamaian buat diriku. InsyaAllah.......