Thursday, April 30, 2009

Artikel Pilihan : Kurangkan ketawa, banyakkan menangis

Oleh Ustaz Zainudin Hashim
Mon Apr 27, 09 10:59:19 am MYT

Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud: "Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia)." Dan dalam ayat 60 surah an-Najm yang bermaksud: "Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?"

Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan.

Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada orang bukan Islam.

Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam, tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan seperti 'Rajalawak'/ 'Lawaking' yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa dan menangis sedikit.

Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah - Tuhan segala manusia.

Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.

Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah an-Nisaa yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."

Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:

Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.

* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.

* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.

* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) , dia mengkhianatinya.

Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas, kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.

Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan. Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang meninggalkan solat kerananya.

Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku, matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak lelaki.

Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah, amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada Allah.

Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk program ketawa seperti �Jomheboh� dan lain-lain dipromosikan dengan hebat sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya. .

Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat."

Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit, bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia menjanjikan kesihatan yang baik.

Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki ciri-ciri orang munafik.

Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Sumber: mymasjid.net.my

Diari : NOT FAIR!!!!!

SubhanAllah….Lahaulawala Quwwataillabillah….

Tidak ada kata lain yang boleh aku ungkapkan selain menyerahkan apa yang telah berlaku pagi ini kepada Allah, Tuhan semesta ‘Alam yang Maha pengasih lagi Maha Mendengar setiap rintihan hamba2nya….

Kali ini, masuk kali ke 2 saman dikenakan pada aku. Aku akui, memang aku takde pelekat kenderaan UPSI yang membolehkan aku bawak masuk kete dalam kampus. Tapi, cara PAK GUARD yang menyaman aku tu langsung tak PROFESIONAL.

Aku memang tak berniat utk terus tulis rintihan dan KETIDAKPUASAN HATI aku kat sini sejurus lepas kena saman tu, kerana aku yakin apa yang akan aku tulis nanti pasti akan datangkan kesan yang tak elok kpd diri aku sendiri dan juga UPSI nanti. Namun, mengertilah, inilah realitinya yang harus UPSI terima.

Masa kali pertama aku kena saman iaitu pada ............., aku bawak masuk kereta dalam kampus kerana kebanyakkan kelas aku pada semester ni adalah di dalam kampus iaitu di Makmal Fakulti Sains dan Teknologi. Jadi, nak tak nak, aku perlu bawak masuk kereta aku ke dalam dan letakkannya di hadapan bangunan fakulti aku.

Tapi, sebaik je roda kereta berputar masuk ke dalam kawasan kampus, ada seorang PAK GUARD menahan aku. Kebiasaannya, andai mana2 kereta yang ditahan, hanya dilihat dan kemudian dilepaskan begitu sahaja. Jadi, aku pun berandaian yang aku akan menghadapi situasi yang hampir sama.

Tapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Tanpa memberikan aku untuk menerangkan situasi yang sebenar, PAK Guard terus mintak Kad Matrik aku dan terus saman aku. Aku tahu, memang aku takde pelekat, tetapi tak ada ruangkah untuk berlakunya budi bicara. Tahu2 terus saman tanpa memberikan apa2 jua peluang. Terang2 pelajar2 DPLI tak boleh mendapatkan pelekat kenderaan itu dan mereka tahu tentang itu.

Aku tidak mempersoalkan kesalahan aku kerana yang salah tetap salah. Tapi, aku mempersoalkan tentang keadilan!!!

Buat pengetahuan semua, bukan aku seorang yang membawa kereta masuk ke dalam kampus dan waktu tu berderet2 yang masuk. Semuanya student DPLI yang sekelas dengan aku. Semua kereta2 tu tak ada pun pelekat kenderaan, tapi semuanya ditahan dan kemudian dilepaskan macam tu aje. Tapi, bila time kereta aku, tidak ada langsung budi bicara yang boleh memberikan ruang untuk aku bercakap dan terangkan situasi sebenar. Semua kete yang depan dan belakang aku lepas macam tu aje.

Aku ingin bertanya di sini, di manakah keadilan yang boleh PAK GUARD ni tunjukkan? Adakah kerana kereta aku terlalu buruk sehingga aku tidak ada ruang langsung untuk diberi kesempatan membela diri? Apakah specialnya mereka2 yang lain sehingga tak kena saman langsung? Apakah sebenarnya ciri2 yang telah ditetapkan oleh PAK GUARD UPSI untuk menyaman pelajar?

Aku bukan nak memburukkan UPSI dan PAK GUARDnya, tapi aku ingin berkongsi rasa tidak puas hati aku dalam perihal keadilan ini.

Dan hari ni, sekali lagi aku kene saman. Alasan yang sama dan sekali lagi aku tak diberikan peluang langsung untuk bercakap. Apa ni??? Apa terlalu besar sangatkah kuasa mereka tanpa langsung memberikan aku ruang dan peluang untuk mempertahankan diri?

Dan satu lagi yang membuatkan aku pelik, semasa aku membayar saman itu, memanglah dikurangkan dari 50 kepada 10 ringgit. Tapi, semasa aku sedang bercakap dengan seorang pegawai ni, tetiba beberapa orang pegawai lain menyampuk tanpa minta izin atau beri salam. Wei, di mana adab PAK GUARD UPSI ni. Semua nak serang aku. Aku sekadar mengatakan PERLUNYA KEADILAN tanpa meninggikan suara pun. Aku cuba cakap seelok2 yang boleh. Tapi, dengan BIADAPnya mereka datang ramai2 serang dan provok aku. APA NI??? Apa kerana aku terlalu kerdil dan kalian boleh menunjukkan kebiadapan yang NYATA dan TERANG macam tu???

Aku tak heran untuk bayar saman tu. Lagipun, itu adalah ”DERMA” aku untuk UPSI. Aku tetap mengaku salah sebab tak ada pelekat kenderaan UPSI. Yang salah, aku tetap akui salah. Cuma, cubalah bersikap adil. Kalau kereta depan takde sticker dilepaskan, apa salahnya aku pun dilepaskan juga. Kenapa perlu ada double standard. Bukan sekali benda nie berlaku, tapi dah dua kali.

Tolonglah PAK GUARD UPSI, berlakulah adil. Anda buat camnie, pasti kene sumpah dengan orang lain. Memang anda buat keje, tapi buatlah secara ADIL & PROFESIONAL.

Tuesday, April 28, 2009

Diari : Dorongan atau Sendaan???

Bergurau tiada salahnya. Beguraulah...kerana ia pemanis dalam perhubungan. Namun, adakalanya kita perlu menjaga hati dan perasaan orang yang terlibat. Kerana mood setiap orang tidak sama pada hari yang berbeza.

Tahukah kita, adakalanya gurauan itu mematikan langkahan waja yang terbina sebelum ini? Tahukah kita, ada kalanya gurauan itu mewujudkan prasangka yang semakin melebar? Tahukah kita, adakalanya gurauan itu membunuh satu jiwa dalam diam? Tahukah kita, ada kalanya gurauan itu menguburkan seseorang dari dunia impiannya?

Justeru, cukup2lah. Fikirlah sebelum melakukan gurauan. Kita tidak boleh samakan diri kita dengan orang lain kerana setiap insan itu berbeza2 sikap dan perwatakan. Jagalah diri, jagalah hati, jagalah mulut dalam berbicara.

"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya"

Berilah dorongan sesama rakan, bukan sendaan yang menghapuskan impian!!!!