Innalillahi wainnailahiraji'un......
Setiap yang hidup pasti merasai mati. Setiap yang bernyawa pasti tidak akan kekal lama. Yang akan kekal hanyalah Allah Subhanahu wata'ala.
Hati siapa yang tidak akan tersentuh dengan kehilangan mereka2 yang punya kekerabatan dan keakraban. Walau sedikit manapun rasa kasih dan sayang, rasa kesedihan akan tetap mewarnai hati dan suasana.
Dalam hidup aku, hanya seorang atuk sahaja yang aku jumpa. Mak dan bapa arwah ayah aku tidak pernah aku jumpa lantaran mereka pergi ketika arwah ayah masih kecil. Dalam umur 10 tahun, arwah ayah telah menjadi anak yatim piatu. Dalam umur sekecil itu, arwah ayah sudah kehilangan tempat bergantung hidup. Yang tinggal hanyalah adik beradik yang sudah besar untuk menumpang sedikit kasih dan sayang. Arwah ayah dibesarkan oleh akak2nya yang sudah pun berumah tangga.
Ibu kepada mak aku juga tak sempat aku jumpa. Dia pergi setahun sebelum kelahiranku. Aku hanya sempat berjumpa dan mengenali bapa kepada mak aku. Dialah sahaja yang tinggal. Aku memanggilnya sebagai 'Atuk Abah'. Namun, 15 Ogos merupakan hari perpisahan antara aku dan dia. Mungkin aku tak terlalu terasa dengan pemergiannya kerana aku hanya seorang cucu. Tapi, bagi anak2nya terutamanya mak aku, pastinya dia sungguh terasa dengan pemergian bapa kesayangannya.
Aku faham dan mengerti perasaan mak lantaran aku sendiri pernah merasai betapa sedihnya kehilangan orang yang kita sayang. Aku kehilangan arwah ayah lebih 5 tahun yang lalu. Masa itu, aku tidak pernah bersedia untuk berhadapan dengan kematian dan pemergian orang yang tersayang. Namun, Tuhan itu lebih mengetahui dan Dialah penentu segala-galanya. Kita tak mampu untuk melawan kehendak takdir. Dialah Yang Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku. Mudah2han roh arwah ayah tenang dan aman di alam kubur sana.
Atuk abah telah pergi kerahmatullah selepas maghrib, 15 ogos. Beberapa hari sebelum itu, aku sempat berjumpa dengannya dalam majlis perkahwinan sepupu aku yang pernah aku ceritakan dalam blog ni. Waktu itu, aku perasan yang wajahnya sugul dan sayu. Tapi, apa yang aku rasa hanyalah kemungkinan dia dalam kepenatan, maklumlah usia sudah menjangkau 87 tahun. Kuranglah sikit rasa terkilan aku kerana tak sempat berjumpa dengannya ketika waktu2 terakhir dia menghembuskan nafasnya .
Aku dapat panggilan daripada mak yang mengatakan Atuk Abah dah meninggal dunia pada 8.15 malam. Aku tak banyak cerita dan terus bergegas untuk mengambil mak aku di Pasir Gudang. Pada jam 11 malam, aku bertolak ke segamat dalam keadaan yang letih lantaran tak sempat untuk berehat. Tapi, inilah jalan terakhir untuk memberi penghormatan kepada jenazahnya.
Dalam perjalanan, aku menghadapi musibah yang sememangnya ujian dari Tuhan. Ketika menghampiri Segamat Inland Port, tayar kereta kancil sebelah belakang tiba2 meletup. Sememangnya Tuhan masih menyayangi aku dan mak aku. Kebetulan, waktu itu aku hanya memandu sekitar 60km sejam dan aku dapat mengawal kereta kancil yang sedang dipandu. Suatu yang tak aku senangi, aku berhenti betul2 dikawasan yang sunyi. Kiri kanan tidak ada lampu jalan apatah lagi perumahan orang2 kampung. Tempatnya sangat sunyi. Tapi, kebetulan, Allah memberi teman kepada aku dan mak kerana laluan itu yang setahu aku akan sunyi apabila menghampiri 1 pagi tetapi, aku bersyukur kerana waktu itu kereta dan lori tak putus2 melalui kawsan itu. Aku tetap bersyukur walau mereka tidak berhenti membantu, namun mereka tetap mengurangkan rasa gusar dihati.
Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu adakalanya adalah sebuah ujian atau balasan dari Tuhan untuk hamba2Nya. Sejauh mana kita mampu untuk menerimanya, sejauh mana kita mampu mendepaninya dan sejauh mana kita harus bersyukur atas apa yang berlaku.......
No comments:
Post a Comment