Berikanlah penghormatan terakhir untuk setiap jenazah dengan memberikan sedekah bacaan Surah Yassin mahupun Surah Al-Fathihah agar roh arwah tenang dan aman di permulaan langkahnya.
Sesampainya aku dirumah arwah atuk abah, aku melepaskan lelah seketika sebelum meneruskan hajat aku menziarahi jenazah. Aku sempat membacakan surah Yassin dan beberapa bacaan lain dengan harapan dapat membantu roh jenazah yang sedang menuju di alam akhirat sana dan meninggalkan dunia yang penuh dengan warna-warni kehidupan.
Alhamdulillah, sekurang2nya arwah atuk abah sudah dijanjikan ajalnya dengan jemputan Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang di ketika usia yang benar2 boleh dijangka. Ketika umur 87 tahun, satu nikmat usia yang diberikan Allah kepada hamba2Nya yang terpilih. Mungkin, dengan usia sebegitu, manusia akan semakin menginsafi dan bertambah keimanannya kepada Allah yang Maha Agung.
Namun, jangan dilupa! Allah jua telah menetapkan takdir bahawa usia bukanlah suatu ketentuan untuk ajal manusia dijemput. Allah juga telah menetapkan bahawa masa dan tempat bukanlah suatu perlindungan untuk kita lari dari ketentuan Tuhan ini. Andai tiba masanya, kita pasti dijemput. Cuma, masa dan keadaan sahaja yang membezakannya.
Aku hanya dapat melelapkan mata sekadar satu jam. Itu pun dalam keadaan yang tak berapa selesa. Tapi cukuplah buat penenang mata yang sangat keletihan.
Sesungguhnya, kematian bukan sekadar satu perkara biasa yang mesti dan pasti berlaku dalam kehidupan setiap insan. Namun, disebalik itu semua, tersirat seribu makna tanda kebesaran Allah Yang Maha Esa. Dia menyuruh kita berfikir dengan pemergian orang yang kita sayang. Dia menyuruh kita mengambil iktibar di atas takdir dan ketentuan yang telah ditentukan ini. Dia juga bukanlah Tuhan yang Maha Zalim, menganiayai hamba2Nya. Sesungguhnya itulah janji Tuhan untuk menguji keimanan dan ketakwaan seseorang hambaNya.
Sesungguhnya benarlah, janji Tuhan itu benar dan tidak akan dusta. Benarlah, apabila kita sudah kaku menjadi mayat, kita tak mampu lagi bergerak hatta seinci sekalipun. Kita akan menyerahkan segala nasib kita ditangan Tuhan. Andai baik, dipujilah ia, andai buruk, dikatalah dia.
Waktu itu, kita sudah tidak mampu untuk melakukan apa2. Kita hanya mengharapkan bantuan dari mereka2 yang mengenali kita semasa hayat dahulu. Waktu itu terdengarlah bacaan2 yang suatu waktu dahulu mungkin kita biasa amalkan atau mungkin juga melupakan. Kemudian kita diangkat ke tempat pemandian. Dimandikan, di sabunkan dan kemudiannya diwudhukkan. Sedihnya kita bila melihat anak atau cucu atau saudara rapat tidak menyentuh sedikit pun badan kita sewaktu dimandikan. Apatah lagi walau sekadar membantu di sisi.
Kemudian kita akan diangkat dari pemandian untuk dikafankan. Dilekatkan dibadan kita kapas2 dan kemudian dibalutkan dengan kain putih yang dibuat khas untuk kita. Dibalut satu persatu, dibedak, dicelak, diwangikan dan kemudian kita terus diikat. Kita hanya mengikut dan kita tak mampu untuk membantah apa jua sekalipun. Itulah kita, sekujur dipembaringan.
Masa untuk kita meninggalkan anak, cucu, suami atau isteri, harta dunia dan semuanya milik kita sudah semakin hampir. Di sinilah, anak cucu dan kenalan2 akan menatap wajah kita buat kali terakhir. Di sini jugalah deraian air mata pasti mengiringi perpisahan yang tidak terjangka ini. Di sinilah perpisahan antara kita dan mereka yang kita sayang. Di sinilah, perpisahan antara kita dan dunia yang telah diberikan nikmat sementara oleh Tuhan. Kita hanya kaku diam membisu. Kita hanya boleh melihat dan kita hanya boleh mendengar. Kita tak mampu hatta menangis sekalipun.
Perpisahan ini menuju ke pengakhiran. Kita akan ditanam dan dikuburkan. Dan kemudian 7 langkah terakhir kita akan berhadapan dengan malaikat Mungkar dan Nakir. Bermulalah penghidupan baru.....Selamat Tinggal Dunia.....
Sesungguhnya, kematian bukanlah sekadar satu kepastian. Tapi, ia merupakan pengajaran terbaik buat mereka yang masih diberikan nikmat nyawa. Perhatikanlah setiap kematian, memandi dan menkafankan mayat, dan lihatlah.....Kita juga akan menjadi sepertinya suatu masa nanti.....
Cuma, berdoalah agar kita diberikan kemuliaan oleh Allah semasa hayat kita, semasa mati kita, semasa di alam kubur kita dan semasa diakhirat sana.
No comments:
Post a Comment