AZAB tak sudah rakyat Palestin yang menagih simpati bantuan asing seolah-olah dinafikan segelintir negara jiran yang sengaja memperkenalkan pelbagai sekatan dan kawalan di sempadan sejak Israel mula menyerang Gaza lebih sebulan lalu.
Sehingga kini, berpuluh treler berisi bantuan ubat dan makanan kepada mangsa Gaza terus tersadai di bahu jalan berhampiran pintu masuk sempadan Rafah - Mesir.
Jika ditanya kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di situ, kebanyakan mereka memberi jawapan sama iaitu pihak berkuasa sempadan Mesir tidak memberikan kerjasama sebaliknya terlalu banyak kerenah birokrasi perlu dipenuhi.
Tidak hairan jika ada antara lori bantuan kemanusiaan berkenaan yang dihantar sejak seminggu lalu masih belum melepasi tembok sempadan Rafah walaupun pelbagai usaha diplomatik dilakukan.
Wartawan yang berada di Gaza mendapat maklumat pendirian tegas Kerajaan Mesir yang enggan membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk melalui pintu sempadannya turut mengundang kemarahan masyarakat Arab.
Wakil NGO Deniz Feneri Association Turki, Zatuq Kan, berkata beliau kecewa dengan sikap Mesir yang enggan bertolak ansur sehingga bantuan mengambil masa sehingga seminggu untuk dibawa masuk.
Katanya, Mesir memberi alasan bimbang bantuan kemanusiaan itu turut diselitkan bekalan senjata api yang ingin disalurkan kepada pejuang Hamas.
“Kami tidak kisah jika mereka ingin memeriksa seluruh lori . Apa yang kami mahu bantuan ini disegerakan ke Gaza.
“Masalah sempadan Mesir bukan hanya membabitkan NGO kami, malah semua NGO negara lain turut berhadapan keadaan ini,” katanya di pintu pagar Rafah.
Katanya, sebelum ini, lebih 20 ambulans yang dihantar NGO Turki turut dihalang beberapa hari sebelum memasuki Gaza tanpa alasan munasabah. Nasib sama dikongsi beberapa doktor sukarelawan asing.
Paling malang apabila doktor sukarelawan warga Afrika Selatan, Feroz Abukaker Ganchi yang cuba memasuki Gaza ditahan pihak berkuasa Mesir tanpa alasan munasabah. Namun, perundingan antara Afrika Selatan dan Mesir akhirnya berjaya membebaskan doktor berkenaan yang mulanya berniat murni untuk membantu mangsa di hospital Gaza.
Pada masa sama, Iran dikatakan turut memprotes tindakan Mesir yang menghalang kemasukan kapal bantuan ke Gaza melalui pelabuhannya. Difahamkan, Mesir tidak memberi kelulusan kepada kapal bantuan Gaza memunggahkan barang melalui pelabuhannya walaupun berulang kali diminta kerajaan Iran.
Masalah sama ini akhirnya memberi kesimpulan apabila Presiden Mesir, Husni Mubarak kini dituduh menjadi boneka Israel dan Amerika dalam usaha memenjarakan semua rakyat Palestin di neraka Gaza dengan cara paling halus.
" Sekadar ingat mengingatkan. Doa Qunut Nazilah
“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.” Sumber: JAKIM"
No comments:
Post a Comment