Alhamdulillah, sesungguhnya pagi ini Tuhan masih memberikan aku peluang untuk terus menjadi hambaNya di muka bumi. Memberikan aku nyawa dan nikmat kehidupan setelah dimatikan sementara di alam tidur.
Pagi ini, aku meneruskan perjalanan untuk mencari rezki Tuhan walaupun sekarang ini aku hanya menghitung hari2 terakhir perjuangan aku di sini. Aku redha dan aku harus akur. Selagi aku masih di sini, aku perlu meneruskan kerja dan tanggungjawab.
Sebenarnya, pagi tadi, dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja, aku memandu seperti biasa. Tanpa menggunakan penyaman udara kereta (memang dah rosak). Entah macammana sementelah terlalu laju di selekoh, aku tidak menyangka semua barang2 yang berada di dashboard bertaburan dan jatuh iaitu Al-Quran kecil dan cermin mata hitam serta beberapa barang lain.
Mujur Al-Quran jatuh hanya di dalam kereta, tetapi cermin mata hitam jatuh keluar dari kereta. Sempat juga aku berfikir untuk berhenti dan mengambilnya kerana itulah barang berharga serta kenangan ketika aku pergi ke Jepun dahulu. Dalam keterbatasan waktu itu, aku sempat membulatkan tekad untuk membiarkan sahaja ia tanpa di ambil kembali.
Mengapa aku membiarkannya kerana hanya itulah kenangan aku ketika di Jepun dahulu? Aku sendiri kurang pasti tetapi aku tetap mengikut kata hati sendiri walaupun ia sudah dianggap membazir.
Dalam perjalanan seterusnya, aku terus memikirkan hal yang berlaku. Mungkin ada sesuatu yang ingin Tuhan tunjukkan kepada aku untuk berfikir seketika. Erm, mungkin benar....
Selama ini, aku sering meletakkan kasih sayang tak kiralah pada benda, kawan, teman atau keluarga. Namun, apa yang telah berlaku dalam hidup aku lewat masa ini, aku akur bahawa kasih sayang yang diberikan hanyalah sementara. Kita tak mampu untuk menerima dan membiarkan ianya berada bersama dengan kita disepanjang hayat.
Mungkin kurang berkaitan antara kasih sayang dan meninggalkan apa yang kita sayang. Namun, aku membulatkan tekad untuk tidak akan menyayangi apa pun jua tanpa berlandaskan kepada hukum Tuhan. Cukuplah dengan apa yang belaku. Dan aku harus tegar untuk menerima segalanya dan aku harus kuat untuk pergi meninggalkan apa yang aku sayang, demi mencari kekuatan sendiri!.....
" Meninggalkan adalah suatu yang perit, tetapi yang lebih memeritkan adalah apabila kita ditinggalkan sewaktu kita memerlukan."
No comments:
Post a Comment