Mentari dinihari jujur memancarkan sinarannya seolah mengiringi langkahan kaki untuk terus melangkah pergi menuntut ilmu. Dikesibukan langkahan itu, akal terus mencerna memikirkan situasi yang semakin menghimpit dan menekan. Bukan kerana soal hati dan perasaan, tapi soal masa depan yang bakal menjadi corak profesion yang digalas.
Masalah sering datang dan pergi. Namun, masalah yang aku hadapi sering menjadi bayangan yang sukar untuk disingkirkan. Dari dahulu hingga sekarang, ia tetap sama. Yang ada hanyalah kekesalan yang berlaku setelah ianya berlalu. Perkara yang menjadi tunjang permasalahan yang aku hadapi adalah terlalu takut untuk melibatkan diri secara aktif di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana ianya melibatkan proses yang formal. Aku merasakan, adalah menjadi sesuatu yang cukup mengentarkan jiwa apabila pensyarah memulakan perbincangan dan sering meminta pendapat pelajar-pelajar di dalam kelas. Aku langsung tidak berani untuk membuka mulut menyuarakan apa yang aku tahu dan apa yang aku ingin tahu. Malah, selalu juga aku gagal menjawab walaupun aku tahu tentang itu. Akhirnya, dengan sikap aku begini menjadikan aku terlalu pasif. Ilmu hanya diserap tanpa berfikir secara mendalam atau berhujah untuk sesuatu isu itu. Yang peliknya, apabila melakukan perbincangan di dalam kumpulan, aku mempunyai kekuatan untuk menyatakan sesuatu yang aku tahu dan berhujah tentangnya. Apakah kerana perbincangan di dalam kumpulan tidak melibatkan sesuatu yang formal sehinggakan aku lebih berani? Manakala, sesuatu perkara yang formal akan menjadikan aku terlalu pasif?
Hal ini terus melewati hari ini. Perkara yang sama tetap berlaku dari diploma pertama sehinggalah DPLI di UPSI ketika ini. Mengapa perkara yang sama mendatangi aku berkali-kali tanpa memberikan aku ruang untuk bernafas? Lebih-lebih lagi sekarang ini aku berada di dalam bidang pendidikan yang menuntut aku berkomunikasi secara aktif di dalam kelas. Lantas, aku duduk bermeditasi untuk mencirikan permasalahan yang aku hadapi ini. Pertamanya, aku belum menguasai sepenuhnya kandungan pelajaran yang di ajarkan oleh pensyarah di dalam kelas. Hal ini secara jujurnya menjadikan aku seperti tidak tahu apa-apa berkaitan dengan perkara yang sedang diajarkan di dalam kelas. Aku tidak membuat ulangkaji terhadap maklumat-maklumat yang sepatutnya aku tahu dan faham. Aku hanya sekadar mengikuti kelas dan memahami sewaktu kelas sahaja dan keesokan harinya, aku ibarat lupa semuanya. Lebih-lebih lagi subjek Fizik yang sepatutnya aku kuasai sebelum aku menjejakkan kaki ke alam perguruan nanti.
Keduanya, kadangkala aku tahu tentang perkara-perkara yang diutarakan oleh pensyarah di dalam kelas, namun semuanya ibarat tidak menjadi akibat dari sikap malu aku sendiri. Aku terlalu malu jika mengutarakan sesuatu yang salah dari apa yang sepatutnya diperkatakan. Oleh kerana sifat malu ini terlalu tebal dalam diri, ianya mematikan terus niat untuk mencuba walaupun sesuatu yang telah aku fikirkan itu adalah betul pada pengakhirannya. Ketiga, aku lemah dalam berkomunikasi terutamanya apabila bahasa inggeris menjadi medium proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Aku tidak menguasai penggunaannya lebih-lebih lagi dalam mengutarakan sesuatu hujah dan konsep. Kalau sekadar untuk pemahaman sendiri, ia tidaklah menjadi masalah, tetapi adalah sebaliknya apabila ingin diaplikasikan di dalam kelas dan berhadapan pula dengan ramai orang. Dengan kosa kata yang amat terhad, kadangkala hujah yang ingin disampaikan di dalam bahasa inggeris gagal disampaikan sepenuhnya dengan baik malah menjadikan rakan-rakan sekelas lebih keliru dengan apa yang ingin disampaikan.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa ianya adalah situasi yang berbeza ketika menjadi pelajar dan guru di sekolah. Namun, aku tidak pernah melihat ianya sebagai dua perkara yang berbeza. Bagi aku ia tetap sama dan mempunyai perkaitan. Bagaimana caranya aku ingin menjadi seorang yang aktif di dalam kelas semasa menjadi guru sedangkan semasa aku menjadi pelajar aku gagal aktif di dalam kelas? Bukankah ianya situasi yang sama iaitu kedua-duanya melibatkan sesuatu yang formal?
Aku bertanya kepada rakan-rakan untuk mendapatkan perspektif yang mungkin berbeza. Beberapa rakan aku mengatakan bahawa aku tetap mempunyai keberanian untuk terlibat aktif di dalam kelas kerana aku boleh memberikan respon secara terbuka semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Cuma, keberanian tersebut perlu diperbaiki untuk memastikan aku menjadi seorang yang cemerlang. Pandangan ini sememangnya berbeza dengan apa yang aku rasa kerana pada hakikatnya, aku takut untuk terlibat aktif di dalam kelas.
Lantaran itu, permasalahan ini menjadi titik fokus aku kini kerana ianya bukan sahaja melibatkan kehidupan aku sebagai pelajar DPLI UPSI, tetapi juga ianya mempertaruhkan nasib aku di masa hadapan sebagai seorang guru. Besyukur rasanya apabila berlaku sentapan yang menyedarkan diri ketika duduk bermeditasi. Kini, aku benar-benar sedar akan kekurangan dan kelemahan yang aku hadapi ini. Mujur, pensyarah mewajibkan refleksi ini dilakukan demi menilai kembali kemampuan diri sendiri. Segalanya adalah benar dan aku akan menghadapi masalah yang besar andai aku tidak atasi secepatnya lebih-lebih lagi hanya tinggal dua bulan sahaja lagi latihan mengajar akan bermula.
Justeru, aku mendapat suntikan kesedaran. Aku tidak boleh menjadi seorang yang penakut dan perlu berani untuk menghadapi situasi formal di dalam kelas samada semasa menjadi pelajar mahupun semasa menjadi guru nanti. Aku perlu aktif di dalam kelas. Ini adalah kebaikan untuk aku dalam proses untuk menjadi seorang guru kelak. Aku juga perlu membuat sebanyak mungkin ulangkaji tidak kiralah dalam subjek yang diajar pada semester ini mahupun subjek Fizik yang akan aku ajar di sekolah nanti. Aku perlu menguasai sepenuhnya sebelum aku betul-betul menjadi pendidik nanti. Malu adalah perlu, namun malu itu perlulah bertempat. Dalam belajar, aku tidak boleh malu kerana yang rugi adalah aku akhirnya. Justeru, sifat malu perlu dibuang demi menjadi pelajar dan guru yang terbaik nanti. Berkomunikasi adalah bermula dari keyakinan diri. Kelemahan berkomunikasi ini perlu aku atasi dengan kekuatan hati dan keyakinan. Aku perlu meyakinkan diri aku untuk berkomunikasi di dalam kelas menggunakan bahasa inggeris. Untuk mencapai hal ini, aku perlu menguasai kemahiran berbahasa ini dahlulu serta menguasai kosa kata yang sangat terhad sekarang ini. Justeru, Penggunaan dan penguasaan bahasa inggeris serta pengaplikasiannya mesti dikuasai sekarang dan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ibarat kata pepatah, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Aku kini optimis untuk cuba mengatasi permasalahan ini. Di rumah, aku sudah menyediakan jadual untuk membuat ulangkaji di dalam subjek yang aku belajar kini serta cuba untuk memahami sepenuhnya. Aku akan membuat persediaan awal dengan membaca nota pensyarah sebelum kelas bermula dan membuat ulangkaji semula untuk memantapkan pemahaman. Begitu juga untuk subjek untuk mengulangkaji subjek Fizik tingkatan empat dan lima dan menguasai kandungannya. Hal ini sekaligus dapat memberikan aku latihan sebelum menjadi guru di sekolah nanti. Untuk mengelakkan malu, aku akan cuba secara sukarela untuk menjadi orang yang akan membentangkan tugasan di dalam kelas. Pembentangan ini akan dapat mengikis sedikit perasaan malu yang ada di dalam diri. Dengan cara ini juga, kelemahan berkomunikasi di dalam bahasa inggeris turut boleh diperbaiki. Aku kini mula memperbanyakkan membaca buku-buku di dalam bahasa inggeris terutamanya Novel, majalah, surat khabar dan artikel untuk menambahkan kosa kata yang terhad ini disamping mendengar radio-radio berbahasa inggeris supaya aku lebih mudah memahami bahasa inggeris yang dipertuturkan.
Aku berharap, dengan iltizam yang hadir dalam diri aku ini memberikan aku kekuatan baru dan tidak takut untuk melibatkan diri di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas serta boleh menjadi seorang guru yang cemerlang dan gemilang.
4 comments:
Pascal Principle, Ohm's Law, coherent waves..hehehesemua fizik ;P
hehe...betullah tu...
kene ulangkaji banyak bende lagi... :))
upload la aku punye refleksi sekali..sedeh aku sbg roommate ko tak hargai
meh ar sini ko nyer refleksi...
nanti aku uploadkan...
hehehe
jgn sedey2 ar....
wakakaka
Post a Comment