Tuesday, February 3, 2009

Berita : 'Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian isu PPSMI'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sudah memberikan ruang yang secukupnya kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan masing-masing mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerusi persidangan meja bulat yang diadakan bulan lalu, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, semua pandangan dikemuka pelbagai pihak berhubung masa depan PPSMI dalam pertimbangan kementerian dan keputusan mengenainya akan dibuat tahun depan.

Katanya, semua pihak berhak menyuarakan pandangan mengenai PPSMI, tetapi sekiranya isu berkenaan dibawa ke jalanan, ia tidak menguntungkan mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi semalam.

Sabtu lalu, kira-kira 100 orang, termasuk Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berkumpul di depan kompleks beli-belah Sogo di sini, bagi membantah PPSMI. Bagaimanapun, perhimpunan itu dibatalkan selepas polis mengarahkan mereka bersurai.

Pengerusi jawatankuasa induk gerakan itu, Datuk Dr Hassan Ahmad yang juga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkata keputusan mengubah PPSMI daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah satu dasar dan keputusan yang salah.

Persidangan Meja Bulat PPSMI yang berlangsung bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan dasar berkenaan.

Pilihan itu ialah meneruskan PPSMI seperti sedia ada, menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah, tetapi meneruskan dasar berkenaan di sekolah menengah; memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah; dan penggunaan bahasa pengantar Sains serta Matematik ditentukan sekolah.

Hishammuddin berkata, tindakan berhimpun membuat bantahan seperti itu tidak membantu kementerian membuat satu keputusan waras berhubung dasar PPSMI.

"Buatlah keputusan yang terbaik wahai kerajaan. Jangan jadikan ia hanya projek cuba-cuba sesetengah pihak sahaja. Betukar walaupun sedikit, memerlukan kos yang sangat besar. Jangan hanya menurut pandangan politik semata, berilah kesempatan ahli bahasa dan cendiakawan untuk berbicara. Dengarlah seadil2nya."

No comments: